Sunday, March 25, 2012

Jadual Ketiga Belas - Peruntukan yang berhubungan dengan Penyempadanan Bahagian-Bahagian Pilihan Raya.




JADUAL KETIGA BELAS
[Perkara 113, 116, 117]
Peruntukan yang berhubungan dengan Penyempadanan Bahagian-Bahagian Pilihan Raya
BAHAGIAN I
PENETAPAN DAN PRINSIP YANG BERHUBUNGAN
DENGAN PENYEMPADANAN BAHAGIAN-BAHAGIAN 
PILIHAN RAYA

1. Sehingga diubah mengikut peruntukan jadual ini, bahagian-bahagian pilihan raya bagi memilih ahli-ahli ke Dewan Rakyat dan Dewan-Dewan Undangan Negeri hendaklah bahagian-bahagian pilihan raya yang mula-mula digunakakn bagi pilihan raya ke Dewan Rakyat atau Dewan Undangan, mengikut mana-mana yang berkenaan, menurut Perlembagaan ini atau Akta Malaysia.
2. Prinsip yang berikut hendaklah seboleh-bolehnya diambil kira dalam membahagikan mana-mana unit kajian semula kepada bahagian-bahagian pilihan raya menurut peruntukan Perkara 116 dan 117-
(a)
di samping mengambil perhatian tentang wajarnya semua pemilih diberi peluang yang semunasabahnya mudah untuk pergi mengundi, bahagian-bahagian pilihan raya patutlah disempadankan supaya tidak merentasi sempadan Negeri dan patutlah juga diberikan perhatian kepada kesulitan bahagian pilihan raya Negeri merentasi sempadan bahagian-bahagian pilihan raya persekutuan;
(b)
perhatian patutlah diberikan kepada kemudahan pentadbiran yang boleh didapati di dalam bahagian pilihan raya itu bagi mengadakan jentera pendaftaran dan pengundian yang perlu;
(c)
bilangan pemilih di dalam setiap bahagian pilihan raya di dalam sesuatu Negeri patutlah lebih kurang sama banyak kecuali bahawa, dengan mengambil kira kesulitan yang lebih besar untuk sampai kepada pemilih di dalam daerah desa dan kesukaran lain yang dihadapi oleh bahagian-bahagian pilihan raya di luar bandar, ukuran pewajaran bagi kawasan patutlah diberikan kepada bahagian-bahagian pilihan raya;
(d)
perhatian patutlah diberikan kepada kesulitan yang akan timbul dengan perubahan bahagian-bahagian pilihan raya, dan kepada pemeliharaan hubungan tempatan.

3. bagi maksud Bahagian ini, bilangan pemilih hendaklah dikira sebagai bilangan yang ditunjukkan dalam daftar pemilih semasa.
3A. Bagi maksud Bahagian ini, dalam apa-apa kajian semula bahagian-bahagian pilihan raya bagi maksud pilihan raya ke Dewan Rakyat, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Labuan dan Wilayah Persekutuan Putrajaya hendaklah setiap satunya dikira sebagai suatu Negeri.
BAHAGIAN II
TATACARA BAGI MENYEMPADANKAN 
BAHAGIAN-BAHAGIAN PILIHAN RAYA

4. Jika Suruhanjaya Pilihan Raya telah memutuskan buat sementara untuk membuat syor di bawah Fasal (2) Perkara 113 yang menyentuh mana-mana bahagian pilihan raya, Suruhanjaya hendaklah memberitahu Yang di-Pertua Dewan Rakyat dan Perdana Menteri dengan sewajarnya, dan hendaklah menyiarkan dalam Warta dan dalam sekurang-kurangnya satu akhbar yang diedarkan di dalam bahagian pilihan raya itu suatu notis yang menyatakan-
(a)
kesan syor yang dicadangkan olehnya, dan (kecuali dalam hal jika Suruhanjaya bercadang untuk mengesyorkan bahawa tiada perubahan dibuat berkenaan dengan bahagian pilihan raya itu) bahawa suatu salinan syornya terbuka untuk diperiksa di suatu tempat tertentu di dalam bahagian pilihan raya itu; dan
(b)
bahawa representasi mengenai syor yang dicadangkan itu boleh dibuat kepada Suruhanjaya dalam masa satu bulan selepas penyiaran notis itu,

dan Suruhanjaya hendaklah mempertimbangkan apa-apa representasi yang dibuat dengan sewajarnya mengikut mana-mana notis itu.
5. Jika, apabila tersiarnya notis di bawah seksyen 4 mengenai sesuatu syor yang dicadangkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya bagi mengubah mana-mana bahagian pilihan raya, Suruhanjaya menerima apa-apa representasi membantah syor yang dicadangkan itu daripada-
(a)
Kerajaan Negeri atau mana-mana pihak berkuasa tempatan yang keseluruhan atau sebahagian kawasannya termasuk di dalam bahagian-bahagian pilihan raya yang tersentuh oleh syor itu; atau
(b)
sekumpulan orang seramai satu ratus orang atau lebih yang nama mereka ditunjukkan dalam daftar pemilih semasa bagi bahagian-bahagian pilihan raya yang berkenaan,

maka Suruhanjaya hendaklah menyebabkan suatu siasatan tempatan diadakan berkenaan dengan bahagian-bahagian pilihan raya itu.
6. Berhubung dengan apa-apa siasatan yang diadakan di bawah seksyen 5 Suruhanjaya Pilihan Raya hendaklah mempunyai segala kuasa yang diberikan kepada Pesuruhjaya oleh Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 [Akta 119].
7. Jika Suruhanjaya Pilihan Raya menyemak apa-apa syor yang dicadangkan selepas menyiarkan suatu notis mengenainya di bawah seksyen 4, maka Suruhanjaya hendaklah sekali lagi mematuhi seksyen itu berhubung dengan syor yang disemak itu, seolah-olah tiada notis dahulunya telah disiarkan:
Dengan syarat bahawa tidaklah perlu diadakan lebih daripada dua siasatan tempatan berkenaan dengan mana-mana syor itu.
8. Setelah selesai menjalankan tatacara yang ditetapkan oleh Bahagian ini, Suruhanjaya Pilihan Raya hendaklah mengemukakan kepada Perdana Menteri suatu laporan mengenai bahagian-bahagian pilihan raya yang menunjukkan-
(a)
bahagian-bahagian pilihan raya yang kepadanya disyorkan olehnya supaya setiap unit kajian semula patut dibahagikan untuk melaksanakan prinsip yang dinyatakan dalam seksyen 2; dan
(b)
nama-nama yang dengannya disyorkan olehnya bahagian-bahagian pilihan raya itu hendaklah dikenali,

atau menyatakan bahawa pada pendapatnya tiada perubahan dikehendaki dibuat untuk melaksanakan prinsip tersebut.
9. Dengan seberapa segera yang boleh selepas Suruhanjaya Pilihan Raya mengemukakan laporannya kepada Perdana Menteri di bawah seksyen 8, Perdana Menteri hendaklah membentangkan laporan itu di hadapan Dewan Rakyat, bersama dengan (kecuali dalam hal jika laporan itu menyatakan bahawa tiada perubahan dikehendaki dibuat) draf suatu Perintah yang akan dibuat di bawah seksyen 12 bagi melaksanakan, dengan atau tanpa ubah suaian, syor yang terkandung dalam laporan itu.
10. Jika mana-mana draf Perintah yang disebut dalam seksyen 9 diluluskan oleh Dewan Rakyat melalui ketetapan yang disokong dengan undi sebanyak tidak kurang daripada setengah daripada jumlah bilangan ahli Dewan itu, maka Perdana Menteri hendaklah mengemukakan draf Perintah itu kepada Yang di Pertuan Agong.
11. Jika usul bagi meluluskan mana-mana draf Perintah yang disebut dalam seksyen 9 ditolak oleh Dewan Rakyat, atau ditarik balik dengan kebenaran Dewan itu, atau tidak disokong dengan undi sebanyak tidak kurang daripada setengah daripada jumlah jumlah bilangan ahli Dewan itu, maka Perdana Menteri boleh, selepas mengadakan apa-apa rundingan yang difikirkannya perlu dengan Suruhanjaya Pilihan Raya, meminda draf itu dan membentangkan draf yang dipinda itu di hadapan Dewan Rakyat; dan jika draf sebagaimana yang dipinda sedemikian diluluskan oleh Dewan itu melalui suatu ketetapan yang disokong dengan undi sebanyak tidak kurang daripada setengah daripada jumlah bilangan ahli Dewan itu,maka Perdana Menteri hendaklah mengemukakan draf yang dipinda itu kepada Yang di-Pertuan Agong.
12. Jika draf sesuatu Perintah dikemukakan kepada Yang di-Pertuan Agong di bawah Bahagian ini, Yang di-Pertuan Agong hendaklah membuat suatu Perintah mengikut kehendak draf yang dikemukakan kepadanya itu, dan Perintah itu hendaklah mula berkuat kuasa pada tarikh yang dinyatakan dalamnya:
Dengan syarat bahawa permulaan kuat kuasa mana-mana Perintah sedemikian tidaklah menyentuh mana-mana pilihan raya ke Dewan Rakyat atau Dewan Undangan sehingga pembubaran yang berikutnya Parlimen atau Dewan Undangan itu, mengikut mana-mana yang berkenaan, yang berlaku pada atau selepas tarikh itu.
____________________________________________
CATATAN
Jadual Ketiga Belas:
Jadual ini ditambahkan oleh Akta 14/1962, seksyen 31, berkuat kuasa dari 12-6-1962-Lihat P.U. 277/68.
Seksyen 3A: Perkataan "atau Wilayah Persekutuan Labuan, mengikut mana-mana yang berkenaan," digantikan dengan ",Wilayah Persekutuan Labuan dan Wilayah Persukutuan Putrajaya" oleh Akta A1095, seksyen 21, berkuat kuasa dari 1-2-2001.
Seksyen 6: Perkataan "Ordinan" digantikan dengan "Akta" oleh Akta 1, subseksyen 14(2).
Seksyen 8: Lihat seksyen 9.
Perenggan (a): Perkataan "Persekutuan dan setiap Negeri" digantikan dengan "setiap unit kajian semula" yang terdapat di baris dua oleh Akta 26/1963, seksyen 70, berkuat kuasa dari 16-9-1963.
Seksyen 9: Lihat seksyen 10,17.
Seksyen 10 dan 11: Lihat Per. 62(3).
Seksyen 12:
1. Perkataan "sehingga suatu prolamasi dikeluarkan oleh Yang di-Pertuan Agong di bawah Perkara 55 memanggil suatu Parlimen baru" digantikan dengan "ke Dewan Rakyat atau Dewan Undangan sehingga pembubaran yang berikutnya akan Prlimen atau Dewan undangan itu, mengikut mana-mana yang berkenaan, yang berlaku pada atau selepas tarikh itu" oleh Akta 26/1963, seksyen 70, berkuat kuasa dari 16-9-1963.
2. Lihat seksyen 9.

Jadual Kesebelas - Peruntukan Ordinan Tafsiran dan Fasal-Fasal Am 1948 (Ordinan Malayan Union No. 7 tahun 1948), yang Terpakai bagi Mentafsirkan Perlembagaan.





JADUAL KESEBELAS
[Perkara 160(1)]
Peruntukan Ordinan Tafsiran dan Fasal-Fasal Am 1948 
(Ordinan Malayan Union No. 7 tahun 1948), yang 
Terpakai bagi Mentafsirkan Perlembagaan.

Seksyen
Hal Perkara
2 (56)
Erti "bulan"-
"bulan ertinya bulan kalendar mengikut kalendar Gregory.
2 (61)
Erti "orang" dan "pihak"
"orang" dan "pihak" termasuklah mana-mana kumpulan orang yang diperbadankan atau tidak
diperbadankan.
2 (88)
Erti "perundangan subsidiari"-
"perundangan subsidiari" ertinya apa-apa Perintah dalam Majlis Mesyurat , proklamasi, kaedah,
peraturan, perintah, pemberitahuan, undang-undang kecil atau surat cara lain yang dibuat di bawah mana-mana Ordinan, Enakmen atau kuasa sah yang lain dan mempunyai kuat kuasa perundangan.
2 (94)
Pentafsiran jantina lelaki-
perkataan yang membawa maksud jantina lelaki termasuklah perempuan.
2(95)
Pentafsiran bilangan tunggal atau jamak-
perkataan dalam bilangan tunggal termasuklah bilangan jamak, dan perkataan dalam bilangan jamak
termasuklah bilangan tunggal.
2(96)
Erti "tulisan"
"tulisan" dan ungkapan yang dikaitkan dengan tulisan termasuklah cetakan, litografi, tulisan taip,
fotografi, dan cara lain untuk menyatakan atau menurunkan perkataan atau angka dalam bentuk boleh lihat.
2 (98)
Erti "tahun"
"tahun" ertinya suatu tahun yang dihitung mengikut kalendar Gregory.
7
Borang-
Kecuali sebagaimana yang diperuntukkan dengan nyata selainnya, apabila borang ada ditetapkan,
pelencongan sedikit daripadanya yang tidak menyentuh isi atau tidak bermaksud untuk mengelirukan, tidaklah menidakshakan borang itu.
13
Kesan pemansuhan-
Jika sesuatu undang-undang bertulis memansuhkan keseluruhan atau sebahagian daripada
mana-mana undang-undang bertulis yang lain, maka, melainkan jika terdapat niat yang berlawanan, pemansuhan itu tidaklah-
(a) menghidupan kembali apa-apa yang tidak berkuat kuasa atau tidak wujud pada masa pemansuhan itu berkuat kuasa; atau
(b) menyentuh perjalanan terdahulu mana-mana undang-undang bertulis yang dimansuhkan sedemikian atau apa-apa yang telah dilakukan atau ditanggung dengan sewajarnya di bawah mana-mana undang-undang bertulis yang dimansuhkan sedemikian; atau
(c) menyentuh apa-apa hak, keistemewaan, obligasi atau liabiliti yang diperoleh, terakru atau dikenakan di bawah mana-mana undang-undang bertulis yang dimansuhkan sedemikian; atau
(d) menyentuh apa-apa penalti, pelucuthakan atau hukuman yang dikenakan berkenaan dengan apa-apa kesalahan yang dilakukan terhadap mana-mana undang-undang bertulis yang dimansuhkan sedemikian; atau
(e) menyentuh apa-apa penyiasatan, prosiding undang-undang, atau remidi berkenaan dengan mana-mana hak, keistemewaan, obligasi, liabiliti, penalti, pelucuthakan atau hukuman yang tersebut terdahuku,
dan mana-mana penyiasatan, prosiding undang-undang atau remidi itu boleh di mulakan, diteruskan atau dikuatkuasakan, dan mana-mana penalti, pelucuthakan atau hukuman itu boleh dikenakan, seolah-olah undang-undang yang dimansuhkan itu tidak diluluskan.
21
(Dimansuhkan).
23
Peruntukan am mengenai kuasa yang diberikan kepada mana-mana pihak berkuasa untuk membuat perundangan subsidiari-
Jika sesuatu Ordinan atau Enakmen memberikan kuasa kepada mana-mana pihak berkuasa untuk
membuat perundangan subsidiari, maka perundangan subsidiari itu boleh pada bila-bila masa dipinda, diubah, dihapuskan atau dibatalkan oleh pihak berkuasa yang sama dan mengikut cara yang sama sebagaimana perundangan sebsidiari itu dibuat.
28
Penafsiran peruntukan tentang perjalanan kuasa dan kewajipan-
(1) Jika sesuatu undang-undang bertulis memberikan sesuatu kuasa atau mengenakan sesuatu
kewajipan, maka, melainkan jika terdapat niat yang berlawana, kuasa itu boleh dijalankan dan kewajipan itu hendaklah dilaksanakan dari semasa ke semasa mengikut kehendak keadaan.
(2) Jika sesuatu undang-undang bertulis memberikan sesuatu kuasa atau mengenakan sesuatu
kewajipan kepada pemegang sesuatu jawatan sebagai yang sedemikian, maka, melainkan jika terdapat niat yang berlawanan, kuasa itu boleh dijalankan dan kewajipan itu hendaklah dilaksanakan oleh pemegang jawatan pada masa ini atau oleh seseorang yang dilantik dengan sewajarnya untuk bertindak bagi dirinya.
29
Kuasa untuk melantik termasuklah kuasa untuk membuang kerja-
Jika suatu undang-undang bertulis memberi mana-mana orang atau pihak berkuasa kuasa untuk
membuat perlantikan bagi memegang apa-apa jawatan atau kedudukan, maka, melainkan jika terdapat niat yang berlawanan, kuasa itu hendaklah ditafsirkan sebagai termasuk kuasa untuk membuang kerja atau menggantung mana-mana orang yang dilantik dan melantik seorang lain buat sementara bagi menggantikan mana-mana orang yang digantung sedemikian atau bagi menggantikan mana-mana pemegang jawatan atau kedudukan yang sakit atau tidak hadir.
Dengan syarat bahawa jika kuasa orang atau pihak berkuasa itu untuk membuat perlantikan itu hanya
boleh dijalankan atas syor atau tertakluk kepada kelulusan atau persetujuan seseorang atau sesuatu pihak berkuasa lain, maka, melainkan jika terdapat niat yang berlawanan, kuasa untuk membuang kerja itu hanya boleh dijalankan atas syor atau tertakluk kepada kelulusan atau persetujuan orang atau pihak berkuasa yang lain itu.
30
Pentafsiran perkataan pemboleh-
Jika suatu undang-undang bertulis memberikan kuasa kepada mana-mana orang untuk melakukan
atau menguatkuasakan perlakuan apa-apa perbuatan atau benda, maka segala kuasa yang semunasabahnya perlu untuk membolehkan orang itu melakukan atau menguatkuasakan perlakuan perbuatan atau benda itu hendaklah difahamkan sebagai juga diberikan kepada orang itu.
32
Nama jawatan rasmi hendaklah termasuk pegawai yang melaksanakan kewajipan-
Apabila sebutan dibuat dalam mana-mana undang-undang bertulis, surat cara, waran atau proses
daripada apa-apa jenis yang dibuat atau dikeluarkan oleh Yang di-Pertuan Agong, atau seseorang Raja atau mana-mana badan atau orang irang yang mempunyai kuasa di bawah mana-mana undang-undang bertulis untuk membuat atau mengeluarkannya kepada mana-mana pegawai awam mengikut gelaran nama jawatannya, maka pegawai itu hendaklah termasuk pegawai yang pada masa ini melaksanakan kewajipan jawatan itu atau mana-mana bahagian daripada kewajipan itu.
33
Kuasa Yang di-Pertuan Agong untuk mengadakan peruntukan bagi perlaksanaan kewajipan pegawai awam dalam masa pegawai itu tidak ada atau tidak berdaya buat sementara-
(1) Jika apa-apa kuasa diberikan atau apa-apa kewajipan dikenakan melalui atau dibawah mana-mana
undang-undang bertulis kepada seseorang pegawai awam, maka Yang di-Pertuan Agong, dalam hal seseorang pegawai awam yang ditanggung dalam perjawatan sesuatu Negeri, Raja Negeri itu boleh mengarahkan bahawa jika, dalam apa-apa tempoh, oleh sebab dia tidak adad atau tidak berdaya bertindak keran sakit atau apa-apa sebab lain, pegawai awam itu tidak dapat menjalankan kuasa atau melaksanakan kewajipan jawatannya di mana-mana tempat di bawah bidang kuasa atau kawalannya, maka kuasa itu hendaklah dipunyai dan boleh dijalankan, dan kewajipan itu hendaklah dilaksanakan di tempat itu oleh orang yang dinamakan oleh, atau oleh pegawai awam yang memegang jawatan yang ditetapkan oleh, Tang di-Pertuan Agong atau Raja, mengikut mana-mana yang berkenaan; dan dengan itu orang atau pegawai awam itu, dalam apa-apa tempoh yang disebut terdahulu, hendaklah mempunyai dan boleh menjalankan kuasa itu dan hendaklah melaksanakan kewajipan yang disebut terdahulu tertakluk kepada apa-apa syarat, kekecualian dan pembatasan yang diarahkan oleh Yang di-Pertuan Agong atau Raja.
(2) Tanpa mejejaskan peruntukan subseksyen (1), apabila pemegang hakiki mana-mana jawatan
bercuti sebelum melepaskan jawatannya maka adalah sah bagi seorang lain dilantik secara hakiki bagi menggantikannya.
33C
Kuasa sesuatu lembaga, dsb, tidak terjejas oleh kekosongan, dsb.-
Jika mana-mana lembaga, suruhanjaya, jawatankuasa atau badan yang seumpamanya, sama ada
yang diperbadankan, ditubuhkan melalui atau di bawah mana-mana undang-undang bertulis, maka, melainkan jika terdapat niat yang berlawanan, kuasa dan prosiding lembaga, suruhanjaya, jawatankuasa atau badan yang seumpamanya itu tidaklah terjejas oleh-
(a) apa-apa kekosongan dalam keanggotaannya;
(b) apa-apa kecatatan yang didapati kemudiannya tentang pelantikan atau kelayakan seseorang yang berupa sebagai anggotanya; atau
(c) apa-apa ketidakteraturan yang kecil dalam memanggil mana-mana mesyuaratnya.
35
(Dimansuhkan).
36
Pengiraan masa-
Pada pengiraan masa bagi maksud mana-mana undang-undang bertulis, melainkan jika terdapat niat
yang berlawanan-
(a) tempoh beberapa hari dari berlakunya sesuatu kejadian atau dari pelakuan apa-apa perbuatan atau 
benda hendaklah disifatkan sebagai tidak termasuk hari kejadian itu berlaku atau perbuatan atau benda itu dilakukan;
(b) jika hari terakhir dalam tempoh itu ialah hari kelepasan mingguan atau hari kelepasan am (hari yang
disebut sebagai hari terkecuali dalam seksyen ini) maka tempoh itu hendaklah termasuk hari yang pertama yang berikutnya, iaitu yang bukan hari terkecuali;
(c) apabila apa-apa perbuatan atau prosiding diarahkan atau dibenarkan dilakukan atau dijalankan pada suatu hari yang tertentu, maka, jika hari itu kebetulannya hari terkecuali, perbuatan atau prosiding itu hendaklah dianggap sebagai dilakukan atau dijalankan dalam masa yang sewajarnya jika dilakukan atau dijalankan pada hari yang pertama selepas itu, iaitu yang bukan hari terkecuali;
(d) apabila sesuatu perbuatan atau prosiding diarahkan atau dibenarkan dilakukan atau dijalankan dalam apa-apa massa yang tidak melebihi enam hari, maka hari-hari terkecuali tidak boleh dihitung pada mengira masa itu.
38
Peruntukan apabila masa tidak ditetapkan-
Jika masa tidak ditetapkan atau dibenarkan yang dalamnya apa-apa benda hendak dilakukan, maka
benda itu hendaklah dilakukan dengan seberapa segera yang boleh dan seberapa kerap keadaan yang ditetapkan itu berlaku.
39
Pentafsiran kuasa untuk melanjutkan masa-
Jika dalam mana-mana undang-undang bertulis masa ditetapkan bagi melakukan apa-apa perbuatan
atau menjalankan apa-apa prosiding dan kuasa diberikan kepada sesuatu mahkamah atau pihak berkuasa yang lain untuk melanjutkan masa itu, maka, melainkan jika terdapat niat yang berlawanan, kuasa itu boleh dijalankan oleh mahkamah atau pihak berkuasa yang lain itu walaupun permohonan bagi pelanjutan masa itu tidak dibuat sehingga selepas habis tempoh masa yang ditetapkan.
40A
Peguam Cara Negara menjalankan kuasa Peguam Negara-
(1) Melainkan jika diperuntukkan dengan nyata selainnya dalam mana-mana undang-undang bertuis,
Peguam Cara Negara boleh melaksanakan mana-mana kewajipan dan menjalankan mana-mana kuasa Peguam Negara.
(2) Jika Yang di-Pertuan Agong atau mana-mana orang lain telah mewakilkan kuasanya dengan sah
kepada Peguam Negara maka, melainkan jika diperuntukkan dengan nyata selainnya, pewakilan itu hendaklah disifatkan sebagai pewakilan kuasa kepada Peguam Negara dan Peguam Cara Negara kedua-duanya.
42
Pegawai awam-
Sebutan dalam mana-mana undang-undang bertulis mengenai mana-mana pegawai awam mengikut
nama jawatannya yang biasa atau am hendaklah, jika terdapat jawatan sedemikian pada lazimnya di Persekutuan atau mana-mana Negeri dan melainkan jika terdapat niat yang berlawanan, dibaca dan ditafsirkan sebagai sebutan mengenai orang yang pada masa ini memegang atau menjalankan kewajipan jawatan itu di dalam Persekutuan atau Negeri itu, mengikut mana-mana yang berkenaan.
44
Penafsiran sebutan mengenai undang-undang-
Dalam mana-mana undang-undang bertulis, sesuatu perihalan atau petikan mengenai suatu
bahagian daripada sesuatu undang-undang bertulis yang lain hendaklah, melainkan jika terdapat niat yang berlawanan, ditafsirakan sebagai termasuk perkataan, seksyen atau bahagian lain yang diperkatakan atau disebut sebagai menjadi permulaan dan penghujung bahagian yang masuk dalam perihalan atau petikan itu.
46
(Dimansuhkan).
____________________________________________
CATATAN
Jadual Kesebelas"
Seksyen 13: Ditambahkan oleh Akta 14/1962, seksyen 30, berkuat kuasa dari 13-8-1957.
Seksyen 21: Seksyen ini yang berbunyi seperti yang berikut dimansuhkan oleh Akta 25/2963, seksyen 8, berkuat kuasa dari 29-8-1963:
"21-Menjalankan kuasa statutori antara pembuatan undang-undang dan permulaan kuat kuasa Akta Parlimen, Ordinan atau Enakmen-

Apabila sesuatu Ordinan atau Enakmen yang tidak hendak dikuatkuasakan sebaik sahaja Ordinan atau
Enakmen itu diluluskan memberikan kuasa untuk membuat apa-apa pelantikan atau membuat perundangan subsidiari, atau mengeluarkan pemberitahuan, atau menetapkan borang atau membuat apa-apa benda lain bagi maksud Ordinan atau Enakmen itu, maka kuasa itu boleh, melainkan jika terdapat niat berlawanan, dijalankan pada bila-bila masa selepas lulusnya Ordinan atau Enakmen itu, tertakluk kepada sekatan bahawa apa-apa perlantikan, surat cara, pemberitahuan atau benda yanhg dibuat, diberikan, dikelaurkan, dibagikan atau dilakukan di bawah kuasa itu tidaklah, melainkan jika terdapat niat yang berlawanan dalam Ordianan atau enakmen itu, atau perlantikan, surat cara, pemberitahuan atau benda itu, untuk menguatkuasakan Ordinan atau Enakmen itu, mempunyai apa-apa kuat kuasa sehinggalah Ordinan atau Enakmen itu berkuat kuasa.".
Seksyen 23: Ditambahkan oleh Akta 26/1963, seksyen 70, berkuat kuasa dari 16-9-1963.
Seksyen 33C: Ditambahkan oleh Akta 31/1965, subseksyen 2(1), berkuat kuasa dari 16-9-1963.
Seksyen 35: Seksyen ini yang berbunyi seperti yang berikut dimansuh oleh Akta 25/1963, sekseyn 8, berkuat kuasa dari 29-8-1963:

"35-Masa permulaan kuat kuasa-
Jika mana-mana undang-undang bertulis, atau mana-mana bahagian sesuatu undang-undang bertulis, atau
apa-apa cara atau pemberitahuan yang dibuat di bawahnya, dinyatakan hendaklah mula berkuat kuasa pada suatu hari tertentu, maka undang-undang bertulis, surat cara atau pemberitahuan itu hendaklah, melainkan jika diperuntukkan dengan nyata selainnya, ditafsirkan sebagai mula berkuat kuasa sebaik sahaja berakhirnya hari berikutan dengan hari itu.".