Friday, March 23, 2012

DASAR LUAR MALAYSIA


Dasar Luar Negara - Pengenalan



DASAR LUAR NEGARA
Definisi
Terdapat banyak definisi atau pendapat yang diutarakan oleh penulis berkenaan Dasar Luar Malaysia. Menurut Lew Hee Men, et al. (2005), Dasar Luar bermaksud “berbaik-baik dengan semua negara demi keamanan dan kesejahteraan dunia”. Menurut beliau juga, dasar luar dibahagikan kepada dua bentuk, iaitu Hubungan Bilateral (hubungan secara terus dengan negara-negara tertentu, dan Hubungan Multilateral (hubungan dalam bentuk kumpulan dan pertubuhan). Azizi Ahmad pula memberikan definisi dasar luar sebagai polisi menjalani perhubungan antarabangsa dengan negara lain. Dasar luar merupakan tindakan yang diambil oleh pembuat dasar sesuatu kerajaan membentuk dan menyelesaikan sesuatu masalah. Ia merupakan strategi atau tindakan menghapus, mengurang, mengekal atau memperluaskan kerjasama antara negara.
Selain itu, Mohd. Nor Mat Yazid (1994) pula menyatakan, “dasar luar dapat diertikan sebagai matlamat, rancangan dan tindakan yang dilakukan oleh sesebuah negara dalam usaha berhubung dengan sesebuah negara lain. Hubungan di antara sebuah negara dengan negara lain adalah perlu dan penting dalam menjaga kepentingan, keselamatan dan kemakmuran sesebuah negara”. Akhir sekali, definisi yang dikeluarkan oleh OUM adalah, Dasar luar negera merangkumi matlamat, perancangan dan tindakan yang diambil oleh sesebuah negara sehubungan dengan negara-negara lain. Dasar luar negera mengutamakan aspek tindakan yang diambil oleh sesebuah negara bagi mempengaruhi keadaan-keadaan diluar bidang kuasanya.
Berdasarkan kepada beberapa definisi yang dikemukan oleh penulis di atas, dapatlah saya rumuskan bahawa dasar luar merupakan satu dasar yang dirangka dan dilaksanakan oleh Malaysia bertujuan untuk mengadakan hubungan baik dengan negara-negara luar bagi tujuan mewujudkan dan mengekalkan keselamatan, kedamaian, keharmonian serta kesejahteraan dari aspek ekonomi, politik, sosial dan lain-lain isu yang mempunyai kepentingan-kepentingan bersama.
Menurut Azizi Ahmad, objektif utama dasar luar Malaysia adalah:
i. Pengiktirafan yang merujuk kepada keinginan sesebuah negara untuk diterima oleh negara lain sebagai sebuah negara merdeka dan berdaulat serta mempunyai sistem pentadbiran sendiri. Dasar luar ini perlu terkawal serta berjaya membawa pembangunan dan keamanan kepada rakyat.
ii. Keselamatan mempunyai hubung kait yang rapat dengan pengiktirafan. Negara perlu wujud sebagai satu kesatuan. Sesebuah negara akan dapat mempertahankan diri dari ancaman luar pada bila-bila masa walaupun terpaksa melalui kekerasan atau peperangan.
iii. Menjalinkan kerjasama dua hala erat dikalangan negara jiran dan serantau serta meningkat kerjasama di kalangan negara lain yang mempunyai matlamat yang sama.
Lew Hee Man, et. Al (2005) pula menyenaraikan beberapa objektif dan matlamat dasar luar Malaysia, iaitu:
i. menjamin keselamatan rakyat dan negara;
ii. memelihara kepentingan nasional dan mengekalkan kedaulatan negara;
iii. menggalakkan pembangunan dan kemajuan ekonomi; dan
iv. mewujudkan keamanan sejagat melalui kerjasama antarabangsa.
Selain itu terdapat beberapa objektif dasar luar Malaysia, yang pernah dikemukakan, di antaranya ialah:
i. Kepentingan pengujudan kedamaian dan keharmonian adalah penting dan ini terpancar dalam dasar luar Malaysia yang merupakan kesinambungan kepada dasar dalam negeri bertujuan untuk menjaga dan mengekalkan keselamatan, keharmonian, keharmonian, kesejahteraan ekonomi dan lain-lain kepentingan-kepentingan negara dan persekitaran.
ii. Kebanyakan pembentukan dasar luar Malaysia secara lazimnya berusaha keras bagimembantu perkembangan ekonomi dalam negeri dengan membawa masuk seberapa ramai pelabur-pelabur asing.
Meskipun terdapat sedikit perbezaan dari segi matlamat dan objektif yang dinyatakan oleh penulis di atas, kita dapat rumuskan bahawa objektif dasar luar yang paling utama adalah sama, iaitu ke arah menjaga kedamaian, keharmonian dan mengekalkan kepentingan Malaysia di arena antarabangsa seterusnya berusaha memakmurkan negara jiran.
2.0 PRINSIP ASAS DAN FAKTOR-FAKTOR DALAM PEMBEMBENTUKAN DASAR LUAR MALAYSIA
2.1 Prinsip-Prinsip Asas Pembentukan Dasar Luar Malaysia
Malaysia mempunyai beberapa prinsip atau tafsiran yang menjadi panduan dalam membentuk dan melaksanakan dasar luarnya. Antara prinsip-prinsip yang diamalkan ialah, pertama, dasar luar Malaysia adalah tidak campur tangan dalam hal ehwal negara lain, terutamanya dalam konteks hubungan serantau. Dalam hal ini, Malaysia mendokong prinsip penyelesaian sengketa dan kewujudan bersama secara aman (non-confrontational). Prinsip ini terbukti dengan pendirian Malaysia untuk menjadi negara berkecuali dan tidak terikat dengan mana-mana negara lain dalam membuat keputusan walaupun menghadapi tekanan dari negara-negara atau kuasa-kuasa besar yang lain. Sebagai contoh menyertai Pergerakan Negara-Negara Berkecuali atau Non-Alligned Movment (NAM) pada tahun 1970.
malaysiaPrinsip yang kedua adalah kerana Malaysia sentiasa menghormati kemerdekaan dan kedaulatan sesebuah negara serta terhindar daripada penindasan. Berdasarkan prinsip ini, Malaysia amat berpegang teguh dengan konsep Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), iaitu kewujudan sistem antarabangsa di mana semua masyarakat di dunia ini dapat hidup dengan aman dan harmoni serta terhindar daripada penindasan. Dalam hal ini, Malaysia telah memainkan peranan aktif dan memberikan sumbangan yang bermakna terhadap PBB melalui penyertaan penuh semangat dalam agensi-agensi PBB seperti UNESCO dan UNCTA D. Sebagai contoh, Malaysia telah menghantar tentera pendamai ke Congo, Afrika (Zaire) pada tahun 1960 bagi menamatkan perang saudara di sana . Malaysia juga memberikan sokongan terhadap orde baru Ekonomi Antarabangsa dan kegiatan-kegiatan Negara-Negara 77 untuk mencapai keadilan dalam sistem perdagangan yang selama ini memihak kepada negara maju sahaja.
Ketiga, Malaysia sendiri mempunyai kekayaan yang agak menarik dan ekonominya berlandaskan keupayaan dan kebolehan mengeksport bahan-bahan mentah serta barangan yang diproses. Ini akan membantu meningkatkan taraf hidup dan ekonomi yang kukuh di Asia. Namun begitu, persekitaran Asia Tenggara sentiasa bergolak dengan permasalahan politik yang boleh mengancam kedudukan ekonomi dan politik negara.
Keempat, Malaysia sentiasa memberikan komitmen yang tinggi dalam penglibatan sebagai anggota Komanwel. Pada tahun 1989 Malaysia telah dipilih untuk menjadi tuan rumah persidangan Ketua-Ketua Negara Komanwel (CHOGM). Pertalian erat yang ditunjukkan dalam penglibatan negara Komanwel diperkukuhkan dengan pemilihan Malaysia sebagai tuan rumah sukan Komanwel yang telah berlangsung pada September 1998.
Kelima, sebagai sebuah negara yang menjadikan Islam agama rasmi, Malaysia telah menjalinkan hubungan yang erat dengan negara-negara Islam. Malaysia telah memainkan peranan yang penting dalam Pertubuhan Negara-Negara Islam (OIC). Malah, YTM Tunku Abdul Rahman telah dilantik sebagai Setiausaha Agung pertama OIC. Malaysia telah memberikan komitmen yang tinggi terhadap hubungan dengan negara-negara Islam sebagai salah satu asas hubungan luarnya.
Huraian yang diberikan di atas hanyalah sebahagian kecil daripada prinsip yang dijadikan asas dalam pelaksanaan dasar luar Malaysia. Ini kerana dasar luar tidak berbentuk statik. Ia sentiasa berubah mengikut dasar yang diamalkan oleh pemimpin-pemimpin semasa.

No comments:

Post a Comment