Sunday, March 25, 2012

Pemilihan Yang Di-Pertuan Agong





Pemilihan Yang Di-Pertuan Agong



  1. Mana-mana daripada sembilan buah negeri beraja di Malaysia layak dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong kecuali jika:
    • baginda seorang remaja, atau
    • baginda telah memberitahu Penyimpan Mohor Besar Raja-raja bahawa baginda tidak mahu dipilih, atau
    • Majlis Raja-raja mengambil ketetapan dengan undi sulit bahawa baginda tidak sesuai untuk menjalankan tugas-tugas Yang di-Pertuan Agong disebabkan kelemahan akal atau tubuhnya atau oleh sebab-sebab lain.
  2. Sebarang ketetapan tentang memilih Yang di-Pertuan Agong tidak boleh diluluskan melainkan mendapat sokongan lima orang daripada sembilan anggota Majlis Raja-raja.
  3. Majlis Raja-raja hendaklah menawarkan jawatan Yang di-Pertuan Agong kepada raja yang layak untuk dipilih, yang negeri baginda ialah negeri yang pertama dalam senarai pemilihan.
  4. Apabila raja yang ditawarkan jawatan Yang di-Pertuan Agong menerima jawatan itu, Majlis Raja-raja hendaklah mengisytiharkan itu sebagai dipilih.
  5. Kemudian, Penyimpan Mohon Besar Raja-raja, selaku Setiausaha Majlis Raja-raja, selaku Setiausaha Majlis Raja-raja hendaklah memberitahu keputusan itu secara bertulis kepada Dewan Rakyat dan Dewan Negara.
  6. Yang di-Pertuan Agong mesti mengangkat dan menandatangani sumpah jawatan dihadapan Majlis Raja-raja dan Ketua Hakim Negara.
  7. Gelaran penuh Yang di-Pertuan Agong ialah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.



Tanggungjawab Yang di-Pertuan Agong

  1. Yang di-Pertuan Agong ialah Ketua Negara dan merupakan raja berperlembagaan.
  2. Yang di-Pertuan Agong ialah Ketua Agama bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Labuan, Wilayah Persekutuan Putrajaya, Sabah, Sarawak, Melaka, Pulau Pinang dan negeri baginda.
  3. Yang di-Pertuan Agong lambang kedaulatan dan perpaduan negara.
  4. Kedudukan Yang di-Pertuan Agong mengatasi semua orang dalam Persekutuan, iaitu keutamaan baginda mengatasi semua orang.
  5. Yang di-Pertuan Agong tidak boleh didakwa atas apa-apa kesalahan dalam mana-mana mahkamah kecuali dalam Mahkamh Khas Raja-raja.
  6. Kuasa Eksekutif negara adalah dalam tangan Yang di-Pertuan Agong tetapi kuasa eksekutif dilaksanakan oleh Perdana Menteri dan Kabinet.
  7. Yang di-Pertuan Agong ialah kompenan badan perundangan persekutuan tetapi baginda tidak mengambil bahagian dalam persidangannya.
---------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------


Jadual Ketiga-Pemilihan Yang di-pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong

JADUAL KETIGA
[Perkara 32 dan 33]
Pemilihan Yang di-Pertuan Agong dan 
Timbalan Yang di-Pertuan Agong
BAHAGIAN I
PEMILIHAN YANG DI-PERTUAN AGONG

1. (1) Seseorang Raja layak dipilih menjadi Yang di-Pertuan Agong melainkan jika-
(a) Raja itu belum dewasa: atau
(b) Raja itu telah memberitahu Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja bahawa Raja itu tidak berhasrat dipilih; atau
(c) Majlis Raja-Raja mengambil ketetapan melalui undi sulit bahawa Raja itu tidak sesuai untuk menjalankan fungsi Yang di-Pertuan Agong disebabkan oleh kelemahan akal atau tubuhnya, atau kerana apa-apa sebab lain.

(2) Sesuatu ketetapan di bawah seksyen ini tidak boleh diluluskan melainkan jika sekurang-kurangnya lima orang anggota Majlis itu telah mengundi menyokongnya.
2. Majlis Raja-Raja hendaklah menawarkan jawatan Yang di-Pertuan Agong kepada Raja yang layak dipilih, yang Negerinya ialah yang pertama dalam senarai pemilihan yang diperihalkan dalam seksyen 4 dan, jika Raja itu tidak menerima jawatan itu, menawarkan jawatan itu kepada Raja yang Negerinya ialah yang berikut selepas Negeri yang pertama dalam senarai itu, dan demikianlah seterusnya sehingga seorang Raja menerima jawatan itu.
3. Apabila Raja yang telah ditawarkan kepadanya jawatan Yang di-Pertuan Agong mengikut seksyen 2 menerima jawatan itu, Majlis Raja-Raja hendaklah mengisytiharkan Raja itu sebagai dipilih dan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja hendaklah memberitahu keputusan pemilihan itu secara bertulis kepada kedua-dua Majlis Parlimen.
4. (1). Senarai pemilihan itu-
(a) bagi maksud pemilihan pertama hendaklah suatu senarai yang memasukkan Negeri semua Raja mengikut susunan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja mengiktiraf keutamaan antara mereka sendiri ketika itu;
(b) bagi maksud pemilihan yang kemudiannya hendaklah senarai sebagaimana yang diubah mengikut subseksyen (2) sehingga senarai itu disusun semula di bawah subseksyen (3), dan kemudiannya senarai pemilihan itu hendaklah senarai yang disusun semula sedemikian, tetapi diubah, bagi maksud pemilihan seterusnya, megikut subseksyen (4).

(2) Senarai yang berkuat kuasa pada pemilihan pertama hendaklah diubah seperti yang berikut:

(a) selepas setiap pemilihan, mana-mana Negeri dalam senarai itu yang mendahului Negeri yang Rajanya telah dipilih hendaklah dipindahkan (mengikut susunan Negeri-Negeri yang ada dalam senarai ketika itu) ke hujung senarai tu, dan Negeri yang Rajanya telah dipilih itu hendaklah ditinggalkan;
(b) apabila ada sesuatu perubahan Raja sesuatu Negeri yang ada dalam senarai ketika itu, Negeri itu hendaklah dipindahkan ke hujung senarai itu (dan jika pada hari yang sama ada perubahan Raja bagi lebih daripada satu negeri yang sedemikian, Negeri-Negeri itu hendaklah dipindahkan sedemikian mengikut susunan yang ada dalam senarai ketika itu).

(3) Apabila tiada Negeri lagi berada dalam senarai itu sebagaimana yang diubah mengikut subseksyen (2), atau jika pada sesuatu pemilihan tiada Raja sesuatu Negeri dalam senarai itu layak dipilih atau menerima jawatan, senarai pemilihan itu hendaklah disusun semula supaya dimasukkan sekali lagi Negeri-Negeri bagi semua Raja, tetapi mengikut susunan yang berikut, iaitu, Negeri-Negeri yang Rajanya telah memegang jawatan Yang di-Pertuan Agong mengikut susunan Raja-Rajanya telah memegang jawatan itu, dan yang lain-lain (jika ada) selepas Negeri-Negeri itu mengikut susunannya dalam senarai itu sebelum senarai itu disusun semula.
(4) Selepas setiap pemilihan yang diadakan mengikut senarai yang disusun semula itu, senarai itu hendaklah diubah seperti yang berikut:
(a) mana-mana Negeri dalam senarai itu yang mendahului Negeri yang Rajanya telah dipilih, hendaklah dipindahkan (mengikut susunan Negeri-Negeri itu dalam senarai ketika itu) ke hujung senarai itu; dan
(b) Negeri yang rajanya telah dipilih hendaklah kemudiannya diletakkan kemudian sekali.
BAHAGIAN II
PEMILIHAN TIMBALAN YANG DI-PERTUAN AGONG

5. Seseorang Raja layak dipilih menjadi Timbalan Yang di-Pertuan Agong melainkan jika-

(a) Raja itu tidak layak dipilih menjadi Yang di-Pertuan Agong; atau
(b) Raja itu telah memberitahu Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja bahawa Raja itu tidak berhasrat untuk dipilih.
6. Majlis Raja-Raja tidak boleh memilih seorang Timbalan Yang di-Pertuan Agong semasa jawatan Yang di-Pertuan agong kosong.
7. Majlis Raja-Raja hendaklah menawarkan jawatan Timbalan Yang di-Pertuan Agong kepada Raja yang layak dipilih, iaitu Raja yang pertama sekali berhak ditawarkan jawatan Yang di-Pertuan Agong apabila mangkat Yang di-Pertuan Agong yang akhir sekali dipilih dan, jika Raja itu tidak menerima jawatan itu, menawarkan jawatan itu kepada Raja yang kemudian selepasnya dan demikianlah seterusnya sehingga seorang Raja menerima jawatan itu.
BAHAGIAN III
PEMECATAN YANG DI-PERTUAN AGONG

8. Sesuatu ketetapan Majlis Raja-Raja untuk memecat Yang di-Pertuan Agong daripada jawatan tidak boleh diluluskan melainkan jika sekurang-kurangnya lima orang anggota Majlis itu telah mengundi menyokongnya.
BAHAGIAN IV
AM

9. (Dimansuhkan)
10. Dalam seksyen 4(3), ungkapan "Raja" termasuklah seseorang bekas Raja.
____________________________________________
CATATAN
Jadual Ketiga:
Lihat Per. 160(2) takrif "Raja".
Tajuk: Perkataan "Timbalan Kepala Umum Negara" digantikan dengan "Timbalan Yang di-Pertuan Agong" oleh Akta A354, seksyen 11, berkuat kuasa dari 27-8-1976.
BAHAGIAN I
Seksyen 2: Lihat seksyen 3.

Jadual Ketiga, Bahagian II
Tajuk: Perkataan "TIMBALAN KEPALA UTAMA NEGARA" digantikan dengan "TIMBALAN YANG DI-PERTUAN AGONG" oleh Akta A354, seksyen 11, berkuat kuasa dari 27-8-1976.
Seksyen 5, 6 dan 7: Perkataan "Timbalan Kepala Utama Negara" digantikan dengan "Timbalan Yang di-Pertuan Agong" oleh Akta A354, seksyen 11, berkuat kuasa dari 27-8-1976.
Jadual Ketiga, Bahagian IV
Seksyen 9:
Seksyen ini yang berbunyi seperti berikut dimansuhkan oleh Akta 25/1963, seksyen 8, berkuat kuasa dari 29-8-1963:
"9. Suatu pilihan raya yang diadakan mengikut Jadual ini sebelum Hari Merdeka adalah sah dan hendaklah berkuat kuasa pada hari itu.".

No comments:

Post a Comment